Posted by : أمير الشفيق Friday, November 23, 2012


Alhamdulillah pada 27 Ogos sehingga 30 Ogos 2012 yang lalu, saya bersama sahabat karib saya, Abdul Hasif bin Zainol telah berjaya menjalankan satu lagi tugasan untuk bergelar seorang guru. Saudara Hasif merupakan sahabat saya yang saya kenali semenjak bangku sekolah menengah lagi. Kini kami berada di satu medan wadah perjuangan yang sama iaitu bakal bergelar seorang guru.


Kini kami berdua berada di semester 2 dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Sebagai graduan PISMP, kami dikehendaki melaksanakan tugasan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) selama seminggu. Untuk semester ini, saya memilih Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Perda sebagai sekolah untuk saya menimba pengalaman serta menadah ilmu dari guru-guru di sini. 


Bagi PBS siri kedua ini, tugasan adalah melibatkan mata pelajaran major. Sehubungan dengan itu, kami menggunakan pelbagai kaedah bagi mendapatkan maklumat tentang pengurusan dan organisasi sekolah dan menjalankan pemerhatian di dalam kelas untuk melihat sendiri pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan Bahasa Inggeris.



Tugasan saya kali ini banyak bertumpukan kepada kaedah soal selidik dan praktikal. Soal selidik yang dijalankan adalah untuk melihat sejauh mana penguasaan dan penerapan Rukun Iman dalam kalangan pelajar. Saya juga berkesempatan mengajar mata pelajaran Bahasa Arab Tahun 2 dan Bahasa Malaysia Tahun 4 di sekolah ini.


Memandangkan kawan baik saya, Hasif adalah pelajar dalam jurusan TESL. Maka tugasannya adalah lebih rumit dan memerlukan pemerhatian yang lebih teliti dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas di samping perlu memastikan guru mengaplikasikan teori-teori pembelajaran dalam kelas. Saya memang berbangga mempunyai seorang sahabat yang mempunyai jiwa yang kental yang sanggup berkorban demi mencurahkan bakti kepada anak bangsa. Saya sering menasihati murid-murid di sini supaya mencontohi beliau dan menjadikan beliau sebagai perangsang untuk belajar.   


Saya banyak meluangkan masa di bilik J-QAF ini untuk menimba ilmu dari para ustaz dan ustazah di sini yang lebih berpengalaman dan telah lama berkhidmat di bidang perguruan. Saya sempat mempelajari kaedah-kaedah serta bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru-guru di sini untuk meningkatkan kualiti kecemerlangan dalam bidang Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di sekolah ini. Saya juga berkesempatan melihat dengan sendiri pengajaran Tilawah al-Quran serta pengajaran Jawi di sini.


Suasana ini menarik perhatian kami berdua. Melihat gelagat mereka ini didenda kerana tidak menyiapkan tugasan kerja rumah yang diberikan. Kami berdua tersengih ketika mengimbau suasana alam persekolahan kami dulu. Beginilah akibatnya jika tidak menyiapkan tugasan kerja rumah.


Hampir sepuluh tahun, bilik darjah inilah yang telah berjaya mendidik seorang generasi perintis awal sekolah ini. Kini bakal bergelar seorang guru pula. Dulu, bilik ini dipenuhi suka dan duka sebelum menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah. Pelbagai kenangan yang tidak mampu dibicarakan betapa bilik usang inilah menjadi saksi terhadap ilmu yang telah ku timba. Bergenang air mataku apabila mataku terus menatap papan tanda ini.

Dengan kuasa Yang Maha Esa, kami diizinkan untuk mengambil masa hampir sejam untuk menjalankan tugasan kami di kelas ini. Kami menjalankan kaedah soal selidik di kelas ini untuk menilai sejauh mana penerapan Rukun Iman di dalam diri para pelajar serta menilai pengguasaan pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Sebelum kami meninggalkan kelas 6 Anggun ini, kami sempat memberi kata-kata semangat kepada mereka semua dan mendoakan kecemerlangan mereka untuk menghadapi peperiksaan UPSR kelak.


Kami juga memanfaatkan masa yang ada dengan meluangkan sedikit masa bersama-sama para pelajar yang menerima rawatan pergigian di dalam bilik pergigian khas di sekolah ini. Perkhidmatan pergigian ini disediakan oleh Klinik Pergigian Sungai Dua. Dengan adanya perkhidmatan ini, aspek kebersihan mulut murid-murid dapat dijaga dan memastikan gigi murid-murid berada dalam keadaan bersih selepas makan.


Saya juga berkesempatan bersama-sama pelajar-pelajar tahun 6 dari seluruh ADUN Permatang Pauh untuk program bacaan yassin dan solat hajat di Masjid Seberang Perai Tengah. Program ini diadakan untuk memberi semangat kepada pelajar-pelajar tahun 6 di samping menerapkan nilai kerohanian dalam diri mereka. Pada malam tersebut, mereka juga dijanjikan sebuah laptop oleh Dato Jalil selaku Ketua UMNO Permatang Pauh jika mendapat keputusan 5A di dalam peperiksaan UPSR.


Pengalaman selama empat hari di SK Bandar Baru Perda memberikan banyak pengalaman serta pengetahuan yang luas kepada saya sebagai seorang bakal guru yang akan mencorakkan pemimpin pada masa hadapan. Terima kasih kepada semua warga SK Bandar Baru Perda yang terlibat memberikan sokongan dan kerjasama kepada saya bagi menyiapkan tugasan ini. 

"Pendidikan Cemerlang Warisan Gemilang"

CaTaTanKu

- Copyright © موربي كوتا ميتروڤوليتن -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -