Posted by : أمير الشفيق Thursday, January 5, 2012


Sejak kebelakangan ini, masalah perceraian hangat diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari dada-dada akhbar sentiasa dipenuhi dengan tajuk-tajuk utama berkaitan masalah keruntuhan institusi kekeluargaan yang amat membimbangkan. Masalah ini umpama tiada jalan penyelesaiannya, berbagai-bagai langkah diambil oleh pihak bertanggungjawab, namun hasilnya masih dalam keadaan kritikal.

Masalah perceraian yang berlaku di Malaysia pada masa ini bukanlah satu masalah yang kecil lagi dan boleh dipandang ringan namun ianya sudah bertukar menjadi satu masalah yang besar. Masalah perceraian ini boleh dikatakan semakin meningkat kerana semakin hari semakin banyak kes-kes perceraian yang difailkan di mahkamah.

Dalam satu statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di akhbar Harian Metro, kadar perceraian di Malaysia semakin meningkat dari tahun demi tahun. Statistik ini amat membimbangkan kerana jumlah perceraian secara puratanya bagi tempoh sehari ialah 56 penceraian berbanding 359 perkahwinan yang berlangsung. Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, kadar perceraian di kalangan pasangan suami isteri di negara ini berlaku dalam tempoh setiap 15 minit.

Statistik Perceraian rakyat Malaysia dari tahun 2000 hingga tahun 2007

Fakta ini menjelaskan bahawa institusi kekeluargaan Islam di Malaysia menuju kepada satu keadaan yang kurang baik dan selesa. Terdapat pelbagai sebab yang membawa kepada perceraian sesebuah perkahwinan. Ia berkait rapat dengan faktor ekonomi, sosial dan politik bagi sesebuah keluarga tersebut.

Jika kita kembali kepada fitrah agama, punca masalah ini adalah berikutan kurangnya penghayatan dan pengamalan terhadap ajaran agama. Sekiranya hendak dikatakan kurangnya didikan ilmu agama adalah sesuatu yang mustahil. Ini kerana sistem pendidikan di Malaysia telah menerapkan bab perkahwinan didalam mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai sukatan pelajaran di peringkat sekolah menengah. Kemudian disusuli dengan mewajibkan setiap pasangan yang ingin mendirikan perkahwinan menghadiri Kursus Perkahwinan yang dianjurkan dibawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Di dalam Islam, perceraian merupakan sesuatu yang dilaknat oleh Islam tetapi diharuskan dengan alasan dan sebab-sebab tertentu. Penceraian boleh dilakukan dengan cara talak, fasakh dan khuluk atau tebus talak. Islam tidak menggalakkan perceraian kerana ia akan mengakibatkan implikasi dan permasalahan yang besar disebabkan oleh perpisahan tersebut. Berbagai permasalahan akan timbul apabila berlaku perceraian di antara suami dan isteri.

Setiap pasangan haruslah berfikir menggunakan akal dan bukanlah bertindak mengikut perasaan yang boleh dikawal dan dipengaruhi oleh syaitan. Sesungguhnya syaitan itu akan ketawa apabila umat islam bercerai-berai dan berpecah-belah. Seharusnya setiap pasangan itu harus bertindak menggunakan fikiran agar tidak akan berakhir dengan perceraian. Perceraian juga bukanlah satu penyelesaian yang betul dan tepat dalam menyelesaikan kemelut rumah tangga bahkan perceraian akan mengundang lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Masalah perceraian ini sebenarnya tidak harus meningkat dari hari demi hari, tahun demi tahun kerana islam itu sendiri telah menggariskan panduan untuk membina sebuah keluarga yang bahagia lantas melahirkan umat islam yang berkualiti melalui institusi kekeluargaan dan bukannya melahirkan umat islam yang runtuh akhlaknya akibat kesan perceraian yang berlaku.

Perkahwinan bukanlah sesuatu perkara yang mudah tetapi perkahwinan adalah satu tanggugjawab yang besar yang harus dipikul oleh setiap pasangan dan perceraian bukanlah satu jalan penyelesaian yang tepat malah perceraian akan mengundang kepada berbagai masalah. 

Sesungguhnya islam itu adalah satu agama yang indah dan tiada yang indah selainnya. Islam juga menuntut umatnya untuk bersatu dan bukannya untuk bercerai-berai. Oleh yang demikian, sebagai seorang manusia biasa yang inginkan sebuah keluarga yang kekal bahagia selamanya, kita haruslah bersandarkan kepada agama sebagai petunjuk kepada kehidupan kita supaya sebuah keluarga itu akan kekal dan bukanlah diakhiri dengan perceraian.

CaTaTanKu

- Copyright © موربي كوتا ميتروڤوليتن -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -